Konsert Karya Agung Pak Ngah Bersama Orkestra Tradisional Malaysia dan Dato' Sri Siti Nurhaliza

Takjub tatkala mendengar bait-bait kata yang memuji kehebatan Allahyarham Pak Ngah.


Konsert Karya Agung Pak Ngah dianjurkan untuk mengenang karya muzik beliau dengan alunan irama yang didendangkan oleh rangkaian artis baharu iaitu Syamel, Rojer, Ernie dan Asmidar. Ia diakhiri dengan persembahan selama satu jam bersama Dato' Siti Nurhaliza. Ternyata, segala belanja bagi tiket konsert tersebut berbaloi memandangkan ia berlangsung selama lebih kurang tiga jam.

Sebagai panggung yang bertaraf antarabangsa, Istana Budaya kaya dengan seni kemelayuan. Pintu besar berkerawang ranggi dan bertombol logam berbentuk keris ternyata memberi unsur kenusantaraan. Seni bina klasik Melayu sangat jelas dari bumbung ke jubin. Namun, haraplah sangat dapat buat sesuatu tentang ralat layar LCD di Panggung Sari. Varnis kayu dan sarung kerusi pun sudah lusuh dan perlu dinaik taraf. Bukan hendak mengecam. Baguslah kalau hendak bercogan taraf antarabngsa. Khidmat pun mestilah setara barulah orang yang datang percaya. Harap membinalah ya.


Apapun, sistem bunyi tidaklah seteruk mana yang dibuahmulutkan orang. Saya pun tidaklah sempurna mana tetapi berlatarbelakangkan pengurusan acara dan majlis, sudah menjadi tabii saya kalau menghadiri acara untuk menjadi peka terhadap hal-hal seremeh penyanyi latar yang melihat ke bawah sewaktu duduk. Harap-harap ada peningkatan lain kali saya ke sana!

Sepanjang persembahan, rasanya tidak puas mendengar cerita tentang Allahyarham. Beliau disantuni bukan sahaja penyanyi-penyanyi mapan, malah rakan-rakan sekerja lain yang pernah berganding bahu dengan beliau.

Dalam beberapa video eulogi yang dipaparkan sebagai selingan persembahan, tidak dapat dinafikan konsert ini masih tidak dapat merangkumi segala sumbangan Allahyarham sebagai penggubah lagu atau lebih dikenali sebagai bapa irama Malaysia. Maklumlah, hayat beliau sepanjang 59 tahun manakan mampu dirumuskan dalam konsert tiga jam.

Yang mengagumkan saya tentang Allahyarham, etika bekerja beliau. Ramai yang mengatakan beliau sangat berdedikasi dan amat menumpukan perhatian pada kerjanya sewaktu bertugas. Lebih daripada itu, dalam ketekunan beliau sebagai pengarah yang mengedali dan merancang persembahan, beliau sangat terbuka kepada saranan dan kritikan bahkan tidak lekang daripada berseloroh dalam kesungguhan mencapai yang terbaik.

Apa yang lebih tersirat, beliau sering ingin menyelitkan kesusasteraan dalam gubahan lagu-lagu beliau untuk mendedahkan kesusasteraan Melayu kepada pelapis bangsa dan mengenalkan budaya yang bersifat rencam ini kepada mata dunia. Ada juga dikongsi bahawa lagu-lagu popular beliau seperti Cindai dan Hati Kama menambat hati penyanyi sejauh Taiwan dan Timur Tengah untuk merakam semula lagu-lagu tersebut dalam bahasa mereka sendiri.

Selain menyelitkan unsur-unsur tersirat dalam muzik beliau, ada juga yang lagu-lagu yang liriknya jelas dan mudah difahami seperti Balqis yang mengisahkan Puteri Balqis.

Apapun, saya berasa sangat gembira kerana dapat menyaksikan konsert ini sebumbung sedewan dengan Perdana Meteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang hadir pada malam itu untuk menyaksikan persembahan yang gah ini. Walaupun tidak dapat bergambar bersama, dapat juga saya lihat beliau dengan mata saya sendiri. Terkesima sekejap.

Tidak kurang menarik tatkala dapat bertemu dengan Datuk Jalaluddin Hassan yang sangat dikagumi ramai dalam industri hiburan Malaysia. Beliaulah yang terkenal melalui rancangan versi Melayu 'Who Wants to Be a Millionaire'. Sekarang, beliau masih giat berlakon dalam siri-siri drama popular seperti Nur.


Malam itu diakhiri dengan makan malam di Pelita kerana kebanyakan kedai sudah tutup. Syukur, sempat juga layan tugasan sampingan. Mana hendak buat lawatan lokasi untuk acara tertutup hujung tahun ini, mana hendak bersedia untuk tahun baharu, mana hendak siap siaga untuk kerja. Penat jadinya. Apapun, ia lawatan yang memberi kenangan manis.

Semoga dapat bertemu lagi di konsert-konsert menarik yang akan datang!